FAKULTI SAINS BUMI
Universiti Malaysia Kelantan

MENGENAI FAKULTI SAINS BUMI


Fakulti Sains Bumi (FSB) mula beroperasi di Kampus Jeli pada April 2012.  Sebelum ditubuhkan sebagai sebuah fakulti, Jabatan Sains Bumi terlebih dahulu ditubuhkan pada 8 Jun 2009 sebagai salah sebuah jabatan di Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA).  Pengalaman mengurus beberapa program dalam tempoh hampir 3 tahun menjadikan jabatan ini sudah cukup bersedia untuk membentuk fakulti baru di UMK. Di awal penubuhannya, FSB menawarkan tiga program Sarjana Muda Sains Gunaan, iaitu Sains Sumber Asli, Sains Kelestarian Alam Sekitar dan Geosains.

Selain mengukuhkan program sedia ada, FSB merangka beberapa program baru dan telah berjaya menawarkan program baru iaitu Teknologi Bahan pada tahun 2013 dan Teknologi Sumber Hutan pada tahun 2014. Sehingga kini (Januari 2016), terdapat lima program sarjana muda di FSB. Selain itu, program sarjana sains dan doktor falsafah turut ditawarkan di FSB. Kesemua program akademik ini diselia oleh tiga buah jabatan, iaitu Jabatan Teknologi Sumber Asli, Jabatan Geosains dan Jabatan Sumber Asli dan Kelestarian.

FSB yang telah beroperasi sepenuhnya pada tahun 2017 di bangunan baharu berhampiran Perpustakaan UMK. Walaupun masih baru, namun kelengkapan sedia ada masih cukup untuk menampung sesi pengajaran dan pembelajaran seperti bilik kuliah, makmal, peralatan asas dan peralatan penyelidikan.

FSB komited dalam mendokong hasrat universiti dan perkara ini jelas dilihat dalam visi FSB iaitu "Pelopor dalam memajukan ilmu dan teknologi sumber asli secara lestari melalui keusahawanan". Penawaran program akademik di peringkat prasiswazah juga adalah selari dengan visi ini iaitu dengan pembangunan kurikulumnya menjurus ke arah sumber asli di samping disulami dengan agenda keusahawanan.