SULAM@UMK: Hari Kesedaran Geobencana

SULAM@UMK: Hari Kesedaran Geobencana Perkukuh Pengetahuan Komuniti Mengenai Bahaya Geologi

Kota Bharu, 8 Disember 2025 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berjaya menganjurkan SULAM@UMK: Hari Kesedaran Geobencana di SK Tanjong Mas, Kota Bharu, melibatkan penyertaan pelajar, guru serta komuniti setempat. Program ini telah berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran geobencana melalui aktiviti pendidikan dan demonstrasi praktikal.

Program ini dikendalikan oleh pensyarah dan pelajar Geologi UMK yang memperkenalkan pelbagai aspek bahaya geologi melalui demonstrasi, simulasi dan pembelajaran interaktif. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kesedaran tanah runtuh, demonstrasi gunung berapi, pendidikan banjir, simulasi tsunami, penerangan tanah runtuh, kesedaran bahaya pesisir pantai serta pelbagai gerai dan permainan interaktif.

Para peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan fasilitator UMK, sekali gus memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai proses geologi dan kesannya terhadap masyarakat. Pendekatan secara hands-on ini turut berjaya menarik minat pelajar sekolah terhadap bidang geologi serta persediaan menghadapi bencana alam.

UMK turut merakamkan penghargaan kepada para penaja dan rakan strategik yang menyumbang bahan pendidikan, peralatan keselamatan, jamuan, token, hadiah dan bantuan logistik sepanjang program berlangsung. Sokongan tersebut telah memberikan impak yang besar kepada kejayaan dan keberkesanan program ini.

Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan UMK dalam mengukuhkan penglibatan komuniti dan pendidikan awam, khususnya dalam meningkatkan kesedaran risiko bencana dan tahap kesiapsiagaan dalam kalangan generasi muda. UMK akan terus menganjurkan program outreach seumpama ini pada masa hadapan bagi memupuk kesedaran masyarakat dan memperkukuh daya tahan komuniti terhadap bahaya geologi.