Aluan Dekan FSB

dekan


Sejak penubuhan Fakulti Sains Bumi (FSB) lima tahun yang lalu, pelbagai tanggungjawab telah digalas dalam menerajui perkembangan dan pembangunan fakulti agar sejajar dengan perubahan semasa yang kompleks, keperluan penyediaan perkhidmatan yang berkualiti serta harapan pemegang taruh yang tinggi. Justeru, agenda penstrukturan menjadi intipati perjalanan FSB dalam memperkukuhkan dan memperkembangkan misi utamanya agar relevan serta memberi impak kepada pembelajaran, penyelidikan dan komuniti.

Fakulti Sains Bumi meneruskan kecemerlangan dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang memberangsangkan sepanjang tahun 2017. Pada tahun ini, seramai 267 graduan FSB telah berjaya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda pada Konvokesyen kali ke-7.

Bagi portfolio khidmat rundingan,penyelidikan dan inovasi, pelbagai pencapaian telah berjaya direalisasikan samada di peringkat antarabangsa atau kebangsaan. Setinggi penghargaan kepada ahli akademik yang mengharumkan nama fakulti dan mengungguli bidang kepakaran masing-masing dengan meraih anugerah inovasi penyelidikan.

Manakala sejumlah RM 399,038.79 dana penyelidikan berjaya dikumpulkan.

Sejajar dengan matlamat untuk memperkasakan penyelidikan melalui penerbitan, pelbagai bentuk penerbitan telah dihasilkan.Selain itu, FSB turut meneruskan pengkongsian ilmu melalui penganjuran persidangan, bengkel, ekspedisi dan seminar. Fakulti juga turut memperluaskan pengkongsian pengetahuan, kepakaran dan jaringan kolaborasi dalam memacu perubahan komuniti sekeliling. Program Prof @ School adalah antara program berimpak tinggi UMK yang turut sama dilaksanakan oleh FSB, bertujuan meningkatkan penglibatan pelajar sekolah dalam bidang sains teknologi kejuruteraan dan matematik (STEM).

Akhir kata, dengan keterlibatan semua pihak dalam FSB melalui semangat kekitaan, hasrat dan matlamat fakulti mampu direalisasikan dengan jayanya.

Sekian, terima kasih.

PROF. MADYA DR. AWENG A/L EH RAK