Hari Pehutanan Sedunia 2017

18Bersempena Hari Pehutanan Sedunia 2017, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Tesco Stores (M) Sdn Bhd telah mengadakan program penanaman pokok gaharu terbesar bertempat di Bukit Gaharu, UMK Kampus Jeli. Program dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perladangan MTIB Tn. Hj. Kamaruzaman. Program penanaman ini juga berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records. Sejumlah 6000 batang pokok karas ditanam pada hari tersebut melibatkan 400 orang pelajar, 50 orang staf UMK serta jawatankuasa pelaksana dan ahli kelab Explorimba.

 

 

21

Surat Niat (L.O.I) telah ditandatangani sebagai kerjasama penyelidikan di antara Regional Environmental Awareness Cameron Highland (R.E.A.C.H) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 30 Mac 2017 di Pusat BioD R.E.A.C.H, Cameron Highlands. Usaha ini telah diambil selaras dengan penerimaan surat jemputan dari En. Ramakrishnan Ramasamy, Presiden R.E.A.C.H, pada 1 Jun 2016 bagi meminta nasihat dan kepakaran 16 orang pensyarah Fakulti Sains Bumi (FSB). Surat Niat tersebut telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mortaza Mohamed, Naib Canselor UMK selaku wakil UMK dan En. Ramakrishnan Ramasamy selaku wakil R.E.A.C.H. Manakala penyerahan Surat Niat oleh Prof. Madya Dr. Aweng Eh Rak selaku wakil Naib Canselor kepada Presiden R.E.A.C.H di Pusat BioD R.E.A.C.H.  berlangsung di hadapan 9 penyelidik UMK, 3 pelajar projek penyelidikan tahun akhir dan 5 orang ahli R.E.A.C.H. Sejak penerimaan surat jemputan dari pihak R.E.A.C.H, kajian berkaitan kepelbagaian serangga, perangkap kabus, liken, kulat dan tanah telah dijalankan di kawasan hutan sekunder seluas 50 hektar. Selain itu, kajian berkaitan kelawar dan tumbuhan juga turut dijalankan di kawasan hutan tersebut pada tahun 2017. Kerjasama penyelidikan ini merupakan satu peluang yang sangat baik bagi penyelidik FSB untuk menerokai khazanah kepelbagaian biologi di Hutan Gunung bagi mempergiatkan usaha pemuliharaan hutan tanah tinggi.