Oleh: Dr. Nurul Syazana Abdul Halim
Kualiti air memainkan peranan penting dalam pemuliharaan sumber air dan alam semulajadi. Kebiasaannya indeks kualiti air (IKA) digunakan untuk mengukur kebersihan dan kualiti bekalan air yang boleh digunakan untuk kegunaan domestik, pengairan dan akuakultur. Walau bagaimanapun, kebergantungan kepada IKA semata-mata untuk merumuskan kualiti sesuatu sumber air itu adalah kurang tepat. Oleh sebab itu, penggunaan pemodelan kualiti air juga adalah penting untuk meramal perubahan kualiti sumber air.
Sehubungan dengan itu, pihak Fakulti telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Bengkel Pemodelan Kualiti Air yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos 2018 bertempat di Bilik Kuliah 2 FSB. Prof Dr Maketab Mohamed merupakan seorang pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia dan juga aktivis alam sekitar telah diundang khas sebagai penceramah sempena bengkel ini.
Melalui bengkel ini staf akademik dan pelajar siswazah telah diperkenalkan dengan model Qual 2E dan Qual 2K yang digunakan dalam pemodelan kualiti air. Selain itu, penceramah juga telah menyentuh secara mendalam mengenai parameter penting dalam menilai kualiti air dan kaedah penilaian kualiti air yang berkesan. Satu aktiviti amali juga telah diadakan dengan membawa para peserta mengambil bacaan kualiti fizikal air di sungai berdekatan. Bengkel ini telah berjaya menarik minat peserta terutamanya di kalangan pensyarah yang seterusnya mencadangkan agar bengkel pemodelan kualiti air siri 2 dapat diadakan untuk tahun hadapan.