Kerja Lapangan Bagi Pengumpulan Data Bagi Projek Penyelidikan Tahun Akhir Di Taman Eko-Rimba Bukit Bakar Machang

Oleh: Dr. Nazahatul Anis Binti Amaludin

Pada 31 Julai 2018, seramai 11 orang pelajar Tahun 4 dari program Sains Sumber Asli (SEN) telah menjalankan pengumpulan data bagi projek penyelidikan tahun akhir di Taman Eko Rimba, Bukit Bakar Machang Kelantan. Kerja lapangan ini di bawah penyeliaan tiga orang pensyarah iaitu Dr.Nazahatul Anis Amaludin, Dr. Radhiah Zakaria, Dr. Suganthi Appalasamy dan Cik Nivaarani Arumugam serta dibantu oleh seorang makmal iaitu En Mohd Firdaus. Taman Eko Rimba, Bukit Bakar, Machang terletak dalam Hutan Simpanan Kekal Ulu Sat yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi tiga daerah iaitu Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Setiap tahun pelajar akan menjalankan kajian masing-masing berdasarkan skop yang telah digariskan mengikut keperluan program. Pendedahan yang sebegini akan membantu pelajar menjalankan pengumpulan data yang betul secara praktikal dengan mengaplikasikan teori yang telah dipelajari semasa dalam kuliah. Selain dari itu juga, kajian serangga juga dijalankan bagi melihat kepelbagaian biologi serangga yang terdapat di Taman Eko Rimba ini. Kerja lapangan ini dapat membantu para pelajar untuk melengkapkan projek penyelidikan mereka di samping memupuk nilai kerjasama di kalangan pelajar serta mencipta suasana harmoni terhadap alam semula jadi.

BUKIT BAKAR

Proses pengumpulan data ini telah mengambil masa selama lapan hari iaitu bermula daripada 31 Julai 2018 sehingga 6 Ogos 2018. Aktivti ini dijalankan bagi memenuhi objektif program untuk mengumpul data dan menganalisa spesies flora di kawasan kajian. Antara projek penyelidikan yang dijalankan adalah berkaitan dengan pengiraan spesies Famili Dipterocarpaceae yang dikategorikan sebagai terancam iaitu Shorea spp., Dipterocarpus spp. dan Hopea spp. dengan pembinaan plot kajian seluas 0.2 hektar. Data yang dikumpul adalah seperti diameter pada paras dada atau diameter at breast height (DBH), jenis tanah dan spesies yang terdapat dalam plot kajian tersebut.


Sepanjang pengumpulan data dalam kawasan kajian tersebut, pelajar bukan sahaja dapat mempelajari teknik mengenal pasti spesies dengan memerhatikan morfologi pokok tersebut berserta faktor abiotik juga turut direkodkan. Sampel daun dikutip untuk dijadikan spesimen baucer untuk disimpan di herbarium. Sampel tanah juga turut diambil untuk dianalisis di makmal bagi melihat peratus unsur mineral yang terdapat dalam sampel tanah tersebut. Projek penyelidikan tahun akhir ini adalah inisiatif adalah hasil kerjasama antara Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Jeli (UMKKJ) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK). Data kajian yang dikumpul ini diharap dapat menjadi sumber rujukan rujukan kepada orang awam, penyelidik dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam bagi memberi pendedahan tentang kepelbagaian biologi yang wujud dalam kawasan Taman Eko Rimba ini. Secara keseluruhannya, kerja lapangan ini telah berjaya dilaksanakan seperti yang telah dirancang.

Bulletin

JUL DIS 2017 BM Opie V2 recovered Edition July - December 2017

Jan June 2017 v4 BM Aug2017 2 Edition January - June 2017

 

OUR SERVICE IN FACEBOOK

Log in